Friday 2 July 2010

Good Article to Share : Hak kanak-kanak

IKLAN sempena sambutan Hari Kanak-kanak yang disiarkan di radio menarik perhatian. Dalam iklan itu seorang kanak-kanak memberitahu, banyak daripada haknya yang membabitkan hak untuk bersuara, mendapat perlindungan dan keselamatan dicabul atau sengaja diketepikan hanya kerana mereka masih kecil.

Pencabulan hak kanak-kanak bukan sekadar mendera, menyakiti atau mencederakan mereka. Ibu bapa yang memaksa anak belajar sehingga tiada masa bermain atau terbabit dalam aktiviti rekreasi juga sebenarnya secara tidak langsung mencabul hak kanak-kanak.Kehidupan seharian kebanyakan kanak-kanak: sekolah dari pagi hingga petang, malam pula ke kelas tambahan. Beginilah rutin setiap hari, lima hari seminggu.Bagi kanak-kanak lebih malang, kelas tambahan diteruskan pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) sama ada untuk belajar muzik, seni atau kemahiran lain.Keinginan ibu bapa mempunyai anak cemerlang dan bijak sejak kecil membuatkan mereka sanggup memenuhi setiap masa anak dengan ‘aktiviti pendidikan’.Dalam keghairahan ini ramai tidak sedar mereka sebenarnya merampas hak anak yang masih dalam peringkat kanak-kanak (sekurang-kurangnya sehingga umur 12 tahun) untuk bermain.
Mereka tidak sedar, sebahagian daripada dunia sebenar kanak-kanak lenyap begitu saja. Mungkin ramai ibu bapa tidak tahu bahawa bermain, bermain dan bermain adalah dunia sebenar kanak-kanak.Malah, ada yang menganggap bermain hanya membuang masa. Tanggapan ini tidak benar kerana melalui bermainlah kanak-kanak belajar banyak kemahiran hidup seperti berinteraksi, bersosial, berkongsi, bertolak ansur dan bersedia menerima kekalahan.Bermain adalah cara terbaik untuk mengelak kanak-kanak tertekan. Tahukah anda, keinginan ibu bapa yang mahu melihat atau meletakkan sasaran tertentu untuk dicapai anak mereka sebenarnya memberi tekanan kepada anak?Itu mungkin keinginan anda, bukan anak anda. Tugas ibu bapa hanya membimbing mereka ke arah hidup yang baik dan bukan menentukan kehidupan mereka.Pendidikan tidak hanya terhad dalam bilik darjah kerana ada banyak kemahiran yang tidak boleh disampaikan di dalam kelas.Saya kasihan melihat kanak-kanak yang hidupnya hanya dipenuhi dengan belajar secara formal, terutama mereka yang dimasukkan ke kelas tambahan khas sejak umur tiga atau empat tahun.Memang tidak salah memberi anak pendidikan tetapi biarlah ia berlangsung mengikut perkembangan umur mereka walaupun ramai menganggap kanak-kanak seperti ini bertuah.Namun, ramai juga tidak sedar mereka kehilangan peluang untuk menikmati keseronokan zaman kanak-kanak.Selain itu ibu bapa juga perlu sedar, tidak memberi rawatan diperlukan juga sebenarnya merampas hak kanak-kanak. Contoh paling senang ialah imunisasi.

Setiap kanak-kanak yang lahir di negara ini ada hak untuk diberi suntikan imunisasi secara percuma dalam program Imunisasi Kebangsaan yang disediakan Kementerian Kesihatan bagi melindungi kanak-kanak daripada penyakit berbahaya.Kegagalan membawa anak mendapatkan perlindungan ini seolah-olah sengaja mendedahkan anak kepada agen penyakit, terutama penyakit berjangkit akibat serangan virus dan bakteria. Ini adalah langkah pertama, paling mudah dan murah untuk memberi perlindungan terbaik kepada anak.Hak kanak-kanak sudah lama diiktiraf dan sambutannya berbeza di seluruh dunia. Hari Kanak-kanak Antarabangsa disambut pada 1 Jun setiap tahun manakala Hari Kanak-kanak Universal pula pada 20 November.Di Malaysia, kita meraikannya Sabtu ketiga setiap Oktober. Di negara lain, mereka menyambutnya pada tarikh berbeza mengikut kesesuaian masing-masing.Di negara kita Hari Kanak-kanak mula dirai sejak 1959 dan kini lebih 150 negara di dunia menyambutnya. Tidak kira bila, sambutan ini adalah tanda penghargaan dan penghormatan kepada kanak-kanak dan golongan muda di bawah 18 tahun.Ia bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab keluarga dan semua anggota masyarakat, terutama ibu bapa serta agensi kerajaan dan swasta untuk melindungi hak dan masa depan kanak-kanak.Ini juga membolehkan masyarakat menghargai keperluan mempertahankan hak dan menegakkan keadilan untuk kanak-kanak berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak.Seperti orang dewasa, semua kanak-kanak, termasuk remaja di bawah umur 18 tahun mempunyai hak asasi sama tidak kira bangsa, agama, kedudukan dan negara. Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 menetapkan setiap kanak-kanak perlu diiktiraf sebagai individu yang mempunyai pemikiran dan hak untuk hidup selamat dan gembira tanpa diskriminasi.Setiap kanak-kanak berhak mendapat empat keperluan asas iaitu:

*Hak kelangsungan hidup — termasuk mutu hidup dan peluang untuk mendapat rawatan
*Hak perkembangan — termasuk pendidikan, mendapat maklumat, bermain, aktiviti rekreasi dan budaya; bebas untuk berfikir dan beragama
*Hak perlindungan — meliputi semua aspek eksploitasi, kekejaman, perpisahan daripada keluarga dan penderaan
*Hak dalam penyertaan sebagai anggota masyarakat — termasuk kebebasan bersuara (memberi pendapat) dan mempunyai hak bercakap dalam isu yang membabitkan hidup mereka. Walaupun masih kecil, pandangan mereka perlu diambil dan dipertimbangkan kerana seperti orang dewasa, mereka juga ada pemikiran tersendiri yang sesuai dengan perkembangan dan perubahan pada zaman ini.

No comments: